Friday, 23 January 2015
“..sepanjang tempoh ini, begitu banyak perkara yang dilalui oleh kami sekeluarga..InsyaAllah, ingin ku coretkan di sini sebagai perkongsian pengalaman, mungkin juga dapat mengubati rindu pada teman sekalian yang ingin mendengar perkhabaran..”
Kelahiran
“..Alhamdulillah..dengan izin Allah swt dan berkat doa daripada semua..aku selamat melahirkan cahaya mataku yang ke-3 mujahid kecil yang diberi nama Muhammad Hafizuddin pada 5 September 2014, jam 3.05 petang dengan berat 3.2 kg melalui pembedahan..”
Pembedahan
“..aku sangat bertuah & bersyukur, apabila pihak Hospital mengizinkan suamiku untuk turut bersama-sama menemaniku di bilik pembedahan..Alhamdulillah, dia dapat menyaksikan sendiri proses pembedahan..sepanjang masa dia disisiku, tangannya menyentuh pipiku sambil bibirnya melafazkan zikir & doa..kalau dulu, semasa aku melahirkan Muhammad Solehuddin, aku begitu takut, risau dan menangis semasa pembedahan dijalankan..kali ini, tidak lagi..aku rasa lebih kuat untuk menempuhi saat-saat sukar ini disamping suamiku yang tersayang..ini adalah detik yang sangat bermakna & akan ku kenang seumur hidupku..aku masih ingat usikan Doktor & petugas lain di bilik pembedahan.. “..Encik tak per, ker? boleh tengok? banyak kes, suami pengsan dalam bilik bedah..” aku dengar suamiku menjawab perlahan, OK..Alhamdulillah, dia bertahan hingga akhirnya..terima kasih, ‘Abang’..kaulah heroku..”
Anakku - Muhammad Hafizuddin
“..aku hanya dapat menatap wajah Muhammad Hafizuddin semasa di bilik pembedahan..selepas itu, dia terus dimasukkan ke wad untuk pemantauan sepenuhnya pihak Hospital..merujuk kes dahulu abangnya Muhammad Solehuddin, pihak Hospital tidak mahu mendedahkannya kepada sebarang risiko..hari ke-2, barulah aku dapat melihat sepuas-puasnya wajah dia..itupun juga, tidaklah terlalu lama..Muhammad Hafizuddin disahkan mengalami ‘neonatal jaundice’ (penyakit kuning) dan perlu dirawat dengan mesin fototerapi..Alhamdulillah, masuk hari ke-3, ‘jaundice’nya lebih rendah dan kami sama-sama dibenarkan pulang ke rumah..kami sekeluarga benar-benar gembira & bersyukur..”
“..kegembiraan kami tidak kekal lama..apabila pulang ke rumah, jururawat yang datang melawat ke rumah menyatakan ada tanda-tanda ‘jaundice’ pada Muhammad Hafizuddin tinggi..sehubungan itu, kami diminta untuk membawanya ke klinik bagi menjalani ujian darah sebagai pengesahan..ternyata benar bacaan ‘jaundice’ Muhammad Hafizuddin tinggi, naik semula berbanding semasa dibenarkan keluar daripada hospital..”
“..kami berulang alik setiap hari membawa Muhammad Hafizuddin ke klinik bagi menjalani ujian darah..apa sahaja nasihat daripada keluarga & kawan, kami ikhtiarkan..termasuklah memberi minum susu kambing, mandikan dengan air daun herba tabib cina & mandikan dengan air daun misai kucing..bacaan ‘jaundice’nya kadangkala naik, kadangkala turun..sehinggalah, Doktor mengesahkan dia mengalami ‘prolonged jaundice’ kerana telah melebihi 14 hari..sehubungan itu, Muhammad Hafizuddin perlu dirujuk ke Klinik Pakar Paediatrik di Hospital Serdang..Doktor bimbang, dia mungkin mempunyai penyakit lain..di Hospital, kami dimaklumkan bahawa ujian terperinci sampel darah & air kencing akan dijalankan ke atas Muhammad Hafizuddin..keputusan akan keluar, hanya selepas 2 minggu dan kami diberi temujanji dengan Doktor Pakar..hanya Tuhan yang tahu resah hati aku, menunggukan tarikh temujanji..tiap hari aku berdoa, janganlah ada berita sedih buat kami..cukuplah, apa yang berlaku pada Muhammad Solehuddin..kami tak berdaya, diuji lagi..akhirnya, hari yang dinanti tiba..terubat rasa resah & penantianku selama ini..Doktor Pakar yang melakukan pemeriksaan menyeluruh serta meneliti keputusan darah & air kencing Muhammad Hafizuddin, mengesahkan dia sihat & semuanya normal..tetapi, kami dinasihatkan tetap memantau keadaannya..jika ada tanda-tanda dia tidak sihat, dia perlu dibawa ke klinik segera..syukur, Alhamdulillah..”
Anakku - Muhammad Luqman Izzuddin
“..pertengahan tahun ini, anakku Muhammad Luqman Izzuddin kerap demam, selsema & batuk..sebelum ni, dia memang ada symptom asthma..tapi, tidak perlu mengambil ubat atau rawatan..symptom asthma hanya berlaku, apabila dia demam kuat atau batuk berpanjangan..biasanya, Doktor hanya memberi ubat cair kahak & dia disuruh menyedut gas di bilik rawatan..sehari dua, dia beransur pulih..tapi, apabila aku membawanya ke klinik pada bulan Ogos kerana demam & aku menceritakan pada Doktor mengenai hidungnya yang kerap berdarah..akhirnya, Doktor membuat ujian darah..hasil ujian darah menyebabkan ada perkara ‘lain’ yang dirisaukan oleh Doktor, ditambah faktor berat badannya yang tidak ideal..susuk badannya, begitu kurus, berbanding ketinggiannya..sehubungan itu, Doktor mengambil sampel darahnya bagi menjalankan ujian ‘talasemia’..Muhammad Luqman Izzuddin dibekalkan dengan multivitamin & aku juga dinasihatkan mengubah cara pemakanannya agar lebih seimbang serta memberi makanan yang kaya dengan zat besi bagi menambah darahnya..kami diberikan temujanji selepas 2 bulan, kerana keputusan ujian darah bagi ‘talasemia’ mengambil masa yang agak lama..”
“..2 minggu lepas, Muhammad Luqman Izzuddin dibawa untuk temujanji yang telah ditetapkan..Doktor memaklumkan keputusan ujian darahnya mengelirukan, dan pihak Hospital memerlukan ujian lebih terperinci dijalankan..sekali lagi, sampel darah Muhammad Luqman Izzuddin diambil dan keputusan ini juga hanya akan diketahui pada Disember ini..”
“..seorang ibu, tidak akan pernah berhenti merisaukan & memikirkan masa depan anak-anaknya..begitulah aku, di hati ini hanya Tuhan yang tahu..aku hanya mampu berdoa, semoga kami sekeluarga tidak diuji lagi..semoga keputusan ujian yang dijalankan ke atas sampel darah Muhammad Luqman Izzuddin adalah normal..semoga dia sihat & dijauhi daripada segala kemudharatan..Aamiiin..”
Anakku - Muhammad Solehuddin
“..agak lama, aku tidak dapat bertemu dengan Muhammad Solehuddin di Hospital..setiap hari, hanya suamiku yang berulang alik ke Hospital melihatnya..tapi, apabila aku bertanya keadaan Muhammad Solehuddin, jawapannya sangat ringkas iaitu OK..aku tak boleh menyalahkan dia..memang dia bukan orang yang suka nak bercerita..tambah pula, mungkin dia sangat letih..banyak perkara yang perlu dilakukannya..bekerja, belajar, menguruskan kami sekeluarga dan terpaksa pula berulang-alik ke Hospital melihat Muhammad Solehuddin..sehinggalah hari ke-18 selepas aku bersalin..semasa kami membawa Muhammad Hafizuddin untuk dirujuk ke Klinik Pakar Pediatrik, di Hospital yang sama Muhammad Solehuddin ditempatkan..aku mengambil peluang ini untuk melihat Muhammad Solehuddin di wad ICU..syukur, Alhamdulillah..dia nampak semakin sihat & berat badannya bertambah..Jururawat yang baik hati menjaga Muhammad Solehuddin pada hari itu juga sungguh ramah..sedar aku masih berpantang & nampak begitu lemah, dia terus mengambil kerusi, menyuruh aku duduk..sambil itu, dia bercerita mengenai Muhammad Solehuddin..kami dimaklumkan, Muhammad Solehuddin baru sahaja mula dirujuk kepada Klinik Rehabilitasi bagi menjalani terapi untuk membantu perkembangan fizikal & mentalnya..namun, terdapat limitasi bagi Muhammad Solehuddin menjalani sesi terapi..Jururawat & Doktor hanya akan membawa Muhammad Solehuddin ke Klinik Rehabilitasi sekiranya keadaannya benar-benar stabil pada hari-hari yang dijadualkan..ada beberapa kali jadual sesi terapinya dibatalkan, kerana keadaannya yang tidak stabil dan mengalami symptom ingin berhenti nafas (keadaan kebiruan) yang kerap..”
“..9 Oktober yang lalu, sekali lagi pihak Hospital mengadakan ‘family conference’..Doktor memaklumkan keputusan ujian MRI yang dijalankan ke atas Muhammad Solehuddin pada bulan September lalu, yang telah selesai dianalisis oleh Pakar Neurologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL)..hasil keputusannya, tiada perkara lain yang dikesan pada otak Muhammad Solehuddin..semuanya nampak normal, seperti juga keputusan ujian MRI pada awal kelahirannya..justeru, kesimpulan mengenai penyakitnya masih sama iaitu ‘Congenital Central Hypoventilation Syndrome’..satu keadaan yang ‘fitrah’..cuma, struktur otak Muhammad Solehuddin nampak semakin mengecut..perkara ini mungkin akan merencatkan perkembangan fizikal & mentalnya..sesi terapi yang dijalankan di Klinik Rehabilitasi adalah salah satu cara bagi membantu meransang otaknya untuk membantu perkembangan fizikal & mental Muhammad Solehuddin..”
“..justeru itu, seperti yang dimaklumkan dalam sesi-sesi ‘family conference’ terdahulu..tiada apa-apa ubat, rawatan atau pembedahan yang boleh dilakukan untuk merawat penyakit Muhammad Solehuddin..kami dikehendaki bersedia untuk membawa pulang Muhammad Solehuddin ke rumah..suamiku diarahkan mula menjaga Muhammad Solehuddin sepenuh masa bagi melatih diri dengan semua peralatan & kemahiran yang diperlukan untuk menjaga serta menguruskan Muhammad Solehuddin kelak..pihak Hospital akan sekali lagi membuat tinjauan ke rumah, bagi memastikan kami telah mematuhi semua perkara yang dikehendaki oleh pihak Hospital sebelum ini..termasuklah telah menyediakan 5 suis utama bagi peralatan/kelengkapan yang akan digunakan oleh Muhammad Solehuddin serta melengkapi rumah dengan kemudahan alat pemadam api & ‘smoke detector’..kami juga perlu menyediakan sebuah bilik khas untuk menempatkan Muhammad Solehuddin bersama peralatan/ kelengkapannya sahaja..bilik ini mesti mempunyai pengudaraan yang baik & perlu sentiasa berada dalam keadaan yang bersih kerana ‘oxygen concentrator’ akan menyedut udara dari persekitarannya..selain itu, pihak Hospital akan memberi sepucuk surat untuk dikemukakan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memberi pengesahan mengenai keselamatan pendawaian elektrik di kawasan Apartment berikutan mesin/ peralatan/ kelengkapan Muhammad Solehuddin kelak yang sangat sensitif serta bersifat ‘high voltage’..”
“..InsyaAllah, Muhammad Solehuddin akan dibenarkan pulang pada bulan November ini, jika pihak Hospital berpuas hati dengan semua perkara, keadaan Muhammad Solehuddin stabil serta suamiku dapat menguasai semua latihan & kemahiran yang diperlukan..”
Suamiku
“..setiap hari, rutin suamiku begitu sibuk..apatah lagi saat aku baru melahirkan..namun, dia tetap cekal melakukan kerja rumah, menguruskan aku serta anak-anak, melihat Muhammad Solehuddin di Hospital, bekerja, belajar & menyiapkan tugasan..menjelang akhir tahun, sudah menjadi lumrah kerjanya semakin banyak..kursus-kursus yang telah dijadualkan oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA) tempat dia berkhidmat perlu dihabiskan sebelum Disember..selain kursus Unit sendiri, kursus Unit lain juga perlu dibantu..bukan sahaja siang, malam pun dia terpaksa pergi ke pejabat..hampir semua kakitangan INFRA, mengalami perkara yang serupa..”
“..sepertimana yang diarahkan oleh pihak Hospital..suamiku telah memohon Cuti Separuh Gaji (CSG) selama 180 hari (6 bulan) mulai 3 November ini..namun, permohonannya mengalami kesulitan..memandangkan sekarang adalah penghujung tahun & dia pula perlu bercuti panjang, Ketua Jabatan (KJ) nya sukar menyokong permohonan ini bagi diangkat kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah (KKLW) untuk kelulusan..banyak perkara lain yang menjadi kemusykilannya..sehubungan itu, permohonan suamiku ditangguh sementara untuk diangkat bagi kelulusan KSU sehingga KJ nya menghadiri mesyuarat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)..memang inilah agaknya nasib pegawai KADER seperti suamiku yang berkhidmat sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam (PHEI) yang ditempatkan di INFRA di bawah KKLW..banyak sangat karenah birokrasi yang melambatkan pelbagai proses dalam perkhidmatannya..semua perkara perlu dirujuk kepada JAKIM sebagai Jabatan asal yang melantik..cakap-cakap orang yang didengar suamiku, katanya KJ nya mahu memastikan tempatnya diganti segera..ada kemungkinan, suamiku tidak akan lagi berkhidmat di INFRA setelah dia kembali bertugas nanti..”
“..inilah harga pengorbanan yang perlu dibayar demi anak tercinta..aku tahu suamiku sedih, tapi dia tidak melahirkannya..dia memang sayang nak tinggalkan INFRA..dah 6 tahun, dia berkhidmat di sana..semenjak kali pertama dilantik, dalam perkhidmatan awam..dia memang selesa & seronok bekerja di INFRA..dia tidak pernah memohon pertukaran pun..kerjanya di INFRA, memang kena dengan jiwanya..aku melihat dia mengalami perubahan sikap yang sangat positif serta mempunyai keyakinan & jati diri yang teguh sepanjang berkhidmat di INFRA, berbanding semasa dia berkhidmat di POSLAJU dahulu..persahabatannya juga begitu akrab dengan teman-teman sepejabatnya..selalu mereka menjalankan aktiviti & hobi bersama-sama..bila terfikir semua ini, aku sangat sedih..kalaulah aku boleh berada di tempatnya..tapi, aku cuma mampu memohon Cuti Separuh Gaji (CSG) selama 2 bulan sahaja..kalau aku terpaksa bercuti lebih lama, kehidupan kami sekeluarga akan terjejas teruk..sementara penjagaan & pengurusan Muhammad Solehuddin kelak juga, memerlukan perbelanjaan yang sangat tinggi..CSG yang akan ku pohon pun, kerana arahan Doktor..kami dinasihatkan bersama-sama menjaga Muhammad Solehuddin pada peringkat awal pengurusannya di rumah kelak..hampir 1 ½ tahun, Muhammad Solehuddin tinggal di Hospital..dengan perubahan persekitaran yang baru, keadaan Muhammad Solehuddin adalah sukar untuk dijangkakan..pengendalian beberapa prosedur dalam menguruskannya seperti ‘feeding tube changing’, ‘suction tube changing’, ‘tracheostomy tube changing’ & ‘suctioning’, begitu juga halnya jika Muhammad Solehuddin berada dalam keadaan yang memerlukan ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ (CPR) rawatan ‘Basic Life Support’ (BLS) adalah lebih mudah dilakukan secara bersama sehingga suamiku benar-benar mahir & mampu melakukannya secara bersendirian..tambahan lagi, Muhammad Solehuddin perlu berulang-alik ke Klinik Pakar Pediatrik bagi temujanji pemeriksaan Pakar serta ke Klinik Rehablilitasi bagi menjalani sesi terapi..”
“..memang sukar, bagi kami..banyak keputusan yang perlu dilakukan..banyak perkara yang memerlukan pengorbanan..hanya kepada Allah swt, kami berserah..semoga ada sinar, dalam kehidupan kami..semoga ada kebaikan, di sebalik ujian yang kami lalui..”
Aku
“..Alhamdulillah, aku bersyukur kerana masih diberi peluang bernafas di bumi Allah ini..selepas melalui proses yang wajib dilalui oleh ramai wanita..melahirkan anak, satu perjuangan antara hidup & mati..cuma, cara yang ditempuhi yang berbeza..”
“..sepertimana 2 kelahiran sebelum ini, proses aku berpantang tidaklah seindah ramai ibu yang lain..berpantang sendiri, dengan dijaga oleh suamiku yang tersayang..sepanjang suamiku bercuti, hampir semua kerja rumah dilakukan olehnya..selepas itu, terpaksalah aku berdikari mengurus diri & anak yang baru dilahirkan..dia terlalu sibuk dengan kerja, berulang-alik ke Hospital melihat Muhammad Solehuddin serta menguruskan banyak perkara lain..aku faham & tetap bersyukur, kerana sepanjang bercuti dia telah menguruskan kami dengan baik..”
“..tapi, apabila bermula episod berdikari..maka bermulalah, episod luka pembedahan ku yang lambat sembuh..mungkin terlalu banyak bergerak & melakukan kerja rumah..hampir sebulan, lukaku masih belum kering sepenuhnya..apabila tiba hari temujanji 1 bulan untuk pemeriksaan menyeluruh aku & Muhammad Hafizuddin di Klinik Kesihatan, aku dimarahi oleh Jururawat kerana lukaku masih basah & ada darah yang keluar ketika ditekan..maka, aku dirujuk kepada Doktor..aku dibekalkan dengan antibiotic & ubat luka serta dinasihatkan agar benar-benar menjaga lukaku sehingga sembuh..jika tidak, ada potensi untuk luka pembedahan terbuka..Alhamdulillah, lukaku dah semakin sembuh..”
“..setelah hampir 2 bulan tidak berjumpa..minggu lepas, kawan-kawan daripada pejabat hadir menziarahi aku & Muhammad Hafizuddin..banyak perkara & khabar yang dibawa..ada yang gembira & ada yang sedih..yang gembira, seorang pegawai yang memang ramai tidak menyukainya & banyak menimbulkan masalah kepada Bahagian telah ditukarkan..yang sedih, waran perjawatan baru penstrukturan semula keseluruhan Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) telah dikeluarkan..Bahagian aku juga, tidak terkecuali..”
“..yang paling memberi impak pada aku ialah, ‘post’ jawatan aku & juga CC kesayangan ku tiada lagi dalam waran perjawatan di Bahagian kami bertugas sekarang..begitu juga terdapat proses ‘re-shuffle’ besar-besaran sedang dijalankan oleh MOA..ramai pegawai & kakitangan di Bahagian ku yang terlibat..nasib kami tidak diketahui sehinggalah surat penempatan atau mana-mana surat arahan rasmi diterima..”
“..aku sangat risau memikirkan dimana aku akan ditempatkan kelak..namun, yang paling menyedihkan aku ialah terpaksa berpisah dengan teman & sahabat kesayangan ku yang dah ku anggap seperti keluarga sendiri..sepanjang tempoh aku berkhidmat di Bahagian ini, begitu banyak bimbingan serta pertolongan yang diberikan oleh mereka pada ku..dalam tempoh aku melalui saat-saat sukar, mereka sentiasa di sisi untuk memberi sokongan & menjadi tempat aku meluahkan perasaan..pelbagai suka duka telah kami kongsi dengan haluan perjuangan yang sama..”
“..walauapapun, inilah hakikat kehidupan..pelbagai pahit manis ujian yang perlu kita lalui..adakalanya suka, adakalanya duka..pasti ada hikmah, disebalik semua yang berlaku..jauh di sudut hati, aku hanya mampu berdoa..semoga kami semua diberikan ketentuan yang baik daripada Allah swt..walau di mana kami ditempatkan kelak, semoga ukhuwwah antara kami akan tetap terjalin erat..semoga kami saling mengingati & mendoakan kejayaan semua di tempat bertugas yang baru kelak..Aamiiin..”
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments :
Post a Comment