Saturday 9 April 2016

Salam 1 Rejab 1437 Hijrah

بسم الله الرحمن الرحيم

1 Rejab 1437 Hijrah
9 April 2016 Masehi

“..hari ini, kita sudah memasuki 1 Rejab 1437 Hijrah..Alhamdulillah, Allah swt telah memberi kita kesempatan untuk bertemu Bulan Rejab yang mulia ini..sama-samalah kita berdoa semoga kita semua diberi kesempatan oleh Allah swt untuk bertemu dengan Bulan Sya’ban & Bulan Ramadhan Al-Mubarak kelak..”

Doa Bulan Rejab :

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

"..Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab & Sya'aban serta sampaikan kami ke bulan Ramadhan.."

“..Rasulullah ﷺ menyarankan umatnya banyakkan beramal terutama apabila tiba tiga (3) bulan mulia ini..janganlah dilepaskan peluang untuk memanfaatkan kelebihan Rejab..lipat-gandakanlah kualiti amal soleh khususnya ibadat puasa sunat, istighfar, solat & berdoa..”

“..tibanya, hari ini..bermakna kita mempunyai 60 HARI lagi untuk menuju Ramadhan..mana yang belum mengggantikan puasa, sama-samalah kita berusaha ‘qadha’ puasa..semoga kita berkesempatan dipertemukan kembali dengan Ramadhan dalam keadaan sihat serta dapat melaksanakan ibadah puasa, terawikh, qiamullail & seumpamanya dengan sempurna & diterima oleh Allah swt.."

Lafaz & Niat Qadha Puasa :

نويت صوم غد عن قضاء فرض رمضان لله تعالى

"..Sahaja aku berpuasa esok hari qadha (ganti) fardhu Ramadhan kerana Allah Taala.."


Semoga kita dapat memanfaatkan peluang-peluang keemasan ini..In Shaa Allah..

امين يا رب العالمين




Friday 18 September 2015

Sambungan Puisi 'Anakku Syurgaku'

Bismillahhirrohmaanirrohiiim

17 September 2015 Masehi
3 Zulhijjah 1436 Hijrah

sambungan...
Puisi yang telah Mama tulis sebelum ini untuk 'anak syurga' Mama, Muhammad Solehuddin...

Puisi 'Anakku Syurgaku'

Anakku
Sekian lama ibu menantikanmu
Tanggal 9 Julai 2013 lahirlah kamu
Syukur serta bahagia ayah & ibu

Anakku
Saat gembira bertukar duka
Tatkala ibu mendengar berita
Kau berada dalam bahaya

Anakku
Gelora rasa di hati ibu
Hanya Tuhan Yang Maha Tahu
Setiap masa berdoa untukmu

Anakku
Mata ibu kadang tidak mampu
Melihat kesan darah di badanmu
Melihat tiub-tiub memasuki tubuhmu
Terasa longlai & menggigil tubuh ibu

Anakku
Ibu akui kekadang goyahnya rasa
Melihat kau bagaikan terseksa
Lalu terdetik kerelaan di hati
Ibu redha melepaskan kau pergi

Namun,
Terima Kasih mujahid ku
Atas perjuangan mu melawan derita
Tiap ujian berjaya kau laluinya
Lalu ibu titipkan doa
Semoga Tuhan tentukan sahaja
Yang terbaik untuk kita semua

Anakku
Mereka membuat ibu trauma
Membiarkanmu hampir tak bernyawa
Hilang sudah pertimbangan & etika kerja
Marahkan ibu kamu menjadi mangsa

Anakku
Keranamu ibu rela
Perjuangan menentang satu dunia
Demi yang terbaik untukmu pastinya

Anakku
Di bilik keramat itu merekalah Raja
Bicara ibu dikunci belaka
Keadilan dituntut tiada jua
Kata mereka tanda protes sahaja

Anakku
Ayahmu bicara menutup sakitnya rasa
Setiap perbuatan ada pembalasannya
Bukan di Dunia pasti di Akhirat sana

Anakku
Maafkan ibu yang tidak sempurna
Tak dapat menjagamu sepenuh masa
Biar ibu tak disampingmu sentiasa
Ingatan & doa ibu tetap bersama

Anakku
Maafkan ibu atas segala kelemahan
Kasih sayang ibu usahlah disangsikan
Kering sudah air mata untuk dititiskan

Anakku
Ibu teringin sekali
Melihat kau makan & minum
Melihat kau berjalan & bermain
Seperti anak-anak normal di luar sana

Anakku
Ibu teringin sekali
Mendengar kau memanggil ibu ‘Mama’
Derita hati ibu tiapkali memikirkannya

Anakku
Mereka sering bertanya perihalmu
Tak pernah sekali mereka menjengahmu
Menjelas segalanya perit tekak ibu

Anakku
Mereka hujahkan naluri ibu
Mana pergi segala rasa
Pada anak yang tercinta

Anakku
Mereka kata mereka hairan & pelik
Melihat ibu tersenyum & ketawa
Hanya ibu yang tahu peritnya
Derita bertarung dengan jiwa

Anakku
Episod duka silih berganti
Ramai berkata mereka simpati
Belum pasti mereka empati

Anakku
Segala yang berlaku ada hikmahnya
Kini ibu tahu untuk menimbangkan
Menilai erti persaudaraan
Menilai erti persahabatan
Siapa disisi saat menempuhi ujian

Anakku
Rai & sendu mengiringi perpisahanmu
Cukup menyentuh sanubari ibu
Tanpa ibu sedari ramai menyayangimu
Lahirlah kemaafan setulus hati ibu
Catatan duka diari trauma yang berlaku
Biarkan sahaja terpadam seiring waktu

Anakku
501 hari berlalu
Tak sedetik kau menjejakkan kakimu
Ke istana cinta ayah & ibu

Anakku
Syukur, Alhamdulillah
Kini, kita sekeluarga dapat bersama
Biar apa jua ujian & kesusahan
Semoga kita beroleh kejayaan

Anakku
Terpaksa ayah berkorban menjagamu
Demi kelangsungan hidup bersama
Berat kini tanggungjawab ibu
Menyara kehidupan kita sekeluarga

Anakku
Semoga ada sinar menerangi jalan kita
Semoga ada bahagia menanti kita
Semoga segala duka berlalu jua
Tanah Suci Makkah tujunya kita

Anakku
Kau seputih kain tiada dosa
Senyumanmu cukup menenangkan
Kaulah sumber kekuatan
Mengajar ibu erti ketabahan
Menahan segala kesakitan

Anakku
Kau Syurgaku
Kaulah sumber kebahagiaan
Kau memberi segenap harapan
Teristimewa anugerah Tuhan

Anakku
Terasa begitu sekejap masanya
Tuhan mengizinkan kita bersama
Tanggal 23 Julai 2015 tiba jua detiknya
Kau pergi buat selamanya

Anakku
744 hari kau dipinjamkan buat ibu
Biarpun hanya sekadar waktu
Pada Maha Esa ibu bersyukur selalu
Tidak sia-sia masa berlalu
Memori indah bersama terukir di kalbu

Anakku
Ibu redha catatan taqdir Ilahi
Ibu redha melepaskan kau pergi
Ibu tahu kasih sayang Tuhanmu lebih beerti
Segala sakit & derita berlalu pasti
Kau menuju sebuah kebahagian abadi

Anakku
Kesedihan pasti menyinggap ruang hati
Ibu yang pernah rahimnya kau huni
Saat berpisah denganmu anak dikasihi
Namun, segala kesedihan berlalu pergi
Saat menatap wajahmu menghadap Ilahi

Anakku
Berpegang keyakinan hikmah taqdir Ilahi
Terus melangkah ibu kuatkan diri
Perjalanan diatur berpaksi matlamat di hati
Bersamamu lagi di Syurga Rabbi

Anakku
Menatap video & potretmu rutin harian
Senyum tawamu mengubat sebuah kerinduan
Tiap detik bersama cukup membahagiakan
Perjuanganmu melawan derita menjadi teladan

Anakku
Kasih padamu sumber kekuatan
Buat ibu meneruskan sebuah perjuangan
Kasih Anak Syurga sinar harapan
Menolong teman-teman mu sekalian

Anakku
Ibu rindu pada mu
Ibu teringin lagi memeluk cium tubuhmu
Ibu teringin mendengar kau memanggil ibu ‘Mama’
Doakan ibu bersamamu kelak di Syurga
Semoga segala hajat ibu mu ini tertunai jua

Hari ini,
Izinkan ibumu
Mengucapkan Selamat Pulang
Selamat Pulang kepada Penciptamu
Semoga kebahagiaan abadi menjadi milikmu
Aamiiin Ya Rabbal ‘Aalamiiin


~Nukilan Hati Mama~
(buat 'Anak Syurga' ku Muhammad Solehuddin)

Al-Fatihah,
buat 'wildan syurga' Allahyarham Muhammad Solehuddin bin Noraaini

9 Julai 2013 - 23 Julai 2015 Masehi
30 Syaaban 1434 - 7 Syawal 1436 Hijrah

~Sayang Soleh Sampai Syurga~








Friday 31 July 2015

31.7.15 @ Hari ke-9 Perginya 'Anak Syurga' Muhammad Solehuddin

Bismillahhirrohmaanirrohiim

Salam Pagi Jumaat

31 Julai 2015
15 Syawal 1436 Hijrah

Hari ke-9 @ Perginya Seorang Mujahid Kecil ‘Anak Syurga’ ku Muhammad Solehuddin bin Noraaini

“..AllahhuAkbar..hari ni masuk hari ke-9, Soleh kembali kerahmatullah..semoga arwah Soleh sentiasa tenang, gembira & bahagia di sana..sepanjang minggu ini, begitu banyak ujian serta perkara yang dilalui & pelbagai perasaan yang Mama rasai..”

"..sejak di Hospital lagi, kami sekeluarga diuji dalam menyempurnakan urusan jenazah..banyak halangan yang perlu ditempuhi..pada mulanya, memang terasa amat pahit untuk ditelan..namun, syukur Alhamdulillah..ada hikmah di sebalik ujian..rupa-rupanya, Allah swt mengaturkan yang terbaik buat Muhammad Solehuddin.."

“..sejak hari pertama Soleh pergi, perasaan sedih di hati Mama hanya Allah yang Maha Mengetahui..sehingga hari ini, Mama masih tidak dapat meluahkan sepenuhnya perasaan di hati Mama pada sesiapa..masih belum ada insan yang begitu dekat di hati Mama untuk Mama berkongsi perasaan ini..insan yang dapat betul-betul memahami & mengerti perasaan Mama..ibu & saudara kandung Mama, nun jauh di Pulau Pinang..Mama cuma ada seorang adik yang masih bersekolah & seorang kakak di kampung..mereka tak dapat nak ziarah Mama, sebab jaga ibu Mama yang tengah sakit sekarang..rindu sangat dengan mereka..tapi, Mama faham keadaan keluarga Mama..”

“..kalau diikutkan hati, Mama teringin menangis sekuatnya..Mama ingin bersendiri, sunyi & sepi melayan memori-memori Mama dengan Soleh..bukan untuk meratapi pemergian Soleh..tetapi, untuk melepaskan rindu Mama pada Soleh..walaupun sedih, Mama terpaksa belajar untuk senyum & melayan tetamu yang datang ziarah..kalau yang datang seperti mereka yang ingin ziarah atas pemergian arwah, Mama masih boleh terima..tetapi, yang datang macam ziarah rumah terbuka Hari Raya..bercerita pasal orang itu, orang ini, saudara itu, saudara ini, berbual-bual mesra..majoritinya, sahabat & saudara Abah yang tak pernah ziarah arwah Soleh pun sebelum ini..AllahhuAkbar, tak sensitif ker mereka dengan perasaan Mama? hati teringin nak menjerit, tapi Mama rela bertahan demi menjaga ukhuwwah persaudaraan keluarga Abah..AllahhuAkbar, bagai tersiat-siat hati Mama..sakitnya, memendam rasa..peritnya, menjadi manusia hipokrit berpura-pura bagaikan Mama betul-betul kuat menghadapi ini semua..Mama redha dengan taqdir Allah swt..Mama redha, Soleh pergi menemuiNya..Mama sedar, ini yang terbaik untuk Soleh..Mama sedar, kini Soleh sedang bahagia di sana..tapi, salahkah Mama menangis? naluri hati seorang ibu ini yang mendesak Mama untuk menangisi kerinduan yang teramat dalam pada anak tersayang..kalau keluarga Abah sahaja, Mama masih boleh terima..tapi, kenapa Abah pun tidak memahami Mama? Mama tahu, Abah kuat..maaf, sebab Mama tidak sekuat Abah..ini anak yang Mama kandung selama 9 bulan dalam rahim Mama..yang Mama berkorban nyawa melahirkannya..yang Mama perjuangkan segala-galanya demi yang terbaik untuknya..salahkah Mama menangis & rindu padanya?..”

“..tidak cukup Mama berperang dengan perasaan sedih..ditambah lagi, sakit Mama..perbuatan Mama memuatnaik wajah arwah Soleh di laman Facebook mengundang teguran keras Abah & ahli keluarganya..AllahhuAkbar, kenapa disalahertikan niat Mama? AllahhuAkbar, kenapa tiada yang mengerti hati Mama? Mama hanya ingin berkongsi wajah terakhir Soleh dengan sekalian yang menyayanginya yang berada nun jauh tidak dapat menziarahi Soleh di hari pemergiannya..Mama tahu, ramai yang sayangkan Soleh..selama ini, mereka banyak membantu Mama sekeluarga..saat sahabat & saudara tiada di sisi kami..saat tiada mana-mana agensi yang sudi menghulurkan bantuan pada Mama sekeluarga..merekalah menjadi pendokong setia perjuangan Mama sekeluarga, demi Soleh..Mama cuma ingin mereka turut sama merasai perasaan Mama, saat menatap wajah Soleh buat kali terakhir..kenapa Abah & ahli keluarganya meletakkan Mama dalam situasi rasa bersalah? serba tidak kena jadinya Mama..terasa sahaja ingin ‘delete’ Blog & Facebook Kisah Soleh..Alhamdulillah, Mama masih bertahan kerana Mama sedar Mama tidak berhak merampas kasih sayang mereka yang rindukan Soleh..semoga Abah & ahli keluarganya akan terbuka hati memahami & lebih sensitif terhadap perasaan Mama, suatu hari nanti..”

“..sejak hari pertama Soleh pergi..ramai yang ziarah, call, SMS & Whatsapp Mama..terima kasih, Mama ucapkan..ada yang mengucapkan takziah..ada yang seperti wartawan, bertanya pelbagai soalan..ada yang memohon maaf, melahirkan kekesalan kerana tak pernah berkesempatan menziarahi Soleh semasa hayatnya..post Mama di Facebook Kisah Soleh juga, tiba-tiba sahaja mendapat LIKE, SHARE & KOMEN yang begitu banyak..ramai yang ‘friend request’ di FB Mama & mohon untuk ‘join’ sebagai member group Kisah Soleh..syukur, Alhamdulillah..tapi, alangkah baiknya jika itu semua sejak dari dulu lagi..semasa kami sekeluarga berjuang demi yang terbaik untuk Soleh..dulu, Kisah Soleh begitu sepi dari majalah, akhbar & televisyen..bloggers terkenal pun, tak sudi nak siarkan Kisah Soleh..persatuan, kelab serta NGO yang bergerak atas nama amal & kebajikan juga mengetepikan Kisah Soleh dari perjuangan mereka..sehinggalah Ramadhan lalu, barulah ramai yang bagaikan sedar akan kewujudan Kisah Soleh & menghulurkan sumbangan pada kami sekeluarga..selama ini, saudara & sahabat terlalu sibuk dengan urusan masing-masing, sehingga tidak berkesempatan menziarahi Soleh..sudah..cukup sudah..tak usah ditanya-tanya alamat rumah Mama..tak usah dihiris-hiris hati Mama..kedatangan kalian ke rumah, lebih menambahkan hiba di hati Mama..hiba, kerana Soleh telah pergi..bertambah hiba, mengenangkan erti persahabatan & persaudaraan pada kalian..betul, Mama membalas senyuman & salam kalian..tapi, di hati ini hanya Tuhan yang Maha Mengetahui perasaan Mama..hakikatnya, Mama bukan manusia hebat..memaafkan kalian, mungkin..tetapi, melupakan terasa berat..semoga waktu menjadi pengubat..hakikatnya, apa jua alasan kalian akan kekal sebagai alasan..tiada kesempatan? renung-renungkan..Allah swt telah meminjamkan Muhammad Solehuddin selama 744 hari bersamaan 2 tahun 14 hari kepada kita semua..adilkah, kita masih menjadikan tiada kesempatan sebagai alasan?..AllahhuAkbar.."

“..hari-hari yang berlalu dalam minggu ini, memang sayu & sepi tanpa kehadiran Soleh..tiada lagi senyum ketawa Soleh..tiada lagi reaksi nakal Soleh..tiada lagi hentakkan kaki yang kuat menunjukkan keaktifan Soleh..bagaikan ada yang tidak kena..kami semua dah biasa dengan rutin seharian adanya Soleh..beberapa hari ini, Mama ziarah ke kubur..malam, Mama tak lelap tidur..Mama bangun malam, macam biasa..dah jadi tabiat Mama, sejak Soleh balik ke rumah, Mama tidur-tidur ayam sahaja waktu malam kerana risau & memantau keadaan Soleh..selalu sahaja Mama pandang katil Soleh..bagaikan Soleh masih ada disisi menemani malam Mama..dah biasa, sejak dulu Soleh bangun malam main-main dengan Mama..Mama pun selalu sembang dengan Soleh dari hati ke hati..eksklusif, kami berdua sahaja..reaksi yang istimewa selalu Soleh berikan sebagai hadiah buat Mama..Alhamdulillah..sehingga malam terakhir Soleh pergi, kami berdua buat benda yang sama..Mama rasa sangat bersyukur, Allah swt bagaikan telah memberi petanda yang Soleh akan pergi tinggalkan Mama buat selamanya..kerana perasaan yang luar biasa Mama rasakan, hati Mama tergerak nak buat apa yang seorang Ustaz pesan pada Mama ketika Soleh pernah melalui saat-saat kritikal dulu..AllahhuAkbar..terima kasih Allah, aku bersyukur atas anugerahMu..tiada sesal, di hatiku..kerana aku dapat menemani anakku di hari terakhirnya..”

“..buat sahabat yang bertanya, samaada Blog & Kisah Soleh akan diteruskan..yer, InsyaAllah..Mama nak cuba imbas semula dari awal Kisah Soleh..semoga Kisah Soleh menjadi satu semangat buat ‘anak syurga’ yang lain & keluarga mereka berjuang..meskipun, perjuangan kami masih belum cukup sempurna..sekurang-kurangnya, Soleh & kami sekeluarga telah berjuang..Alhamdulillah..sehingga Soleh menghembuskan nafasnya yang terakhir..biar sekejap cuma, kesempatan yang Allah swt berikan..tapi, kami semua bersyukur..sejak Soleh lahir, tiada siapa yang memberikan kami janji & harapan, Soleh akan sembuh..hatta, dari awal, mereka mahu kami melepaskan Soleh pergi..namun, Alhamdulillah..dengan izin Allah swt serta perjuangan kami semua, Soleh bertahan..kami dapat melihat Soleh membesar di hadapan mata kami & Soleh dapat merasai kasih sayang seluruh keluarga..Soleh mampu senyum, ketawa, menangis, merajuk, marah, bermain, berinteraksi dalam caranya yang tersendiri & menunjukkan perkembangan yang baik setiap hari..paling Mama tidak dapat lupakan, pernah suatu hari Mama menangis & memeluk tubuh Soleh, reaksi Soleh bagaikan memujuk Mama dengan mengusap-usap kepala Mama..Soleh suka sangat mendengar Azan, setiapkali mendengar Azan, Soleh pasti akan menoleh & fokus ke arah laungan Azan tersebut..Soleh gembira sejak ada Mini Al-Quran elektronik..itulah, antara objek yang Soleh suka pegang & capai..dua hari terakhir sebelum Soleh pergi, Soleh dah berjaya belajar duduk semula seperti masa mula-mula Soleh keluar dari wad ICU dahulu..itulah pencapaian yang paling menggembirakan Mama..AllahhuAkbar, Soleh membahagiakan kami dengan harapan, perjuangan & kasih sayangnya..biar dalam apa jua cara, naluri hati ibu ini yakin sekali..Soleh tahu siapa kami..Soleh mengerti & memahami kami..Soleh sayang kami..biar cuma seketika, setiap detik yang dilalui bersama Soleh cukup bermakna & berharga..Soleh kenangan terindah kami..Soleh akan sentiasa kekal dalam ingatan & hati kami..perjuangan Soleh setiapkali melalui tempoh kritikal, akan tersemat kukuh di sanubari..harapan, doa & perjuangan harus diteruskan selagi belum tiba masanya Allah swt mengambil nyawa seseorang anak Adam..jangan mudah mengalah..jangan mudah melepaskan ‘anak syurga’ pergi..hakikatnya, ‘anak syurga’ itu kuat..mereka mujahid & mujahidah yang akan terus berjuang selagi belum tiba masa untuk mereka pergi..mereka amanah Allah swt yang perlu kita jaga dengan sebaiknya..Mama selalu pegang kata-kata beberapa orang sahabat.. “..Allah swt bagi ‘anak syurga’ pada kita..sebab Allah swt nak bagi syurga untuk kita..jalan ke syurga itu, bukan mudah..kerana syurga itu indah..”..”

“..buat semua yang telah menolong & menyokong kami sekeluarga selama ini, walau dalam apa jua cara, sekali lagi Mama ucapkan terima kasih..semoga Allah swt membalas kebaikan kalian..InsyaAllah, Mama berhajat nak cuba menolong ‘anak syurga’ & keluarga yang lain..melihat ‘anak syurga’ lain terus berjuang, mengingatkan Mama pada arwah ‘anak syurga’ Mama Muhammad Solehuddin..bagaikan melihat Muhammad Solehuddin terus hidup dalam diri mereka..semoga Allah swt memurahkan rezeqi serta memberi kekuatan & pertolongan dalam menunaikan hajat Mama ini..Aamiiin Ya Rabbal ‘Aalamiiin..”

~Sayang Soleh Sampai Syurga~




Saturday 25 July 2015

25.7.15 @ Hari ke-3 Perginya 'Anak Syurga' Muhammad Solehuddin

Assalamu'alaikum..

25 Julai 2015 Masehi
9 Syawal 1436 Hijrah

Hari ke-3 @ Perginya Seorang Mujahid Kecil 'Anak Syurga' ku Muhammad Solehuddin bin Noraaini

"..maaf, Mama masih lemah untuk berkongsi kisah serta perasaan kami.."

"..tapi, hari ini Mama nak buat satu perkara penting yang sepatutnya Mama dah buat sejak hari pertama arwah Soleh pergi..maaf, Mama betul-betul terlupa.."

saudara, sahabat yang dikasihi, para dermawan yang budiman, semua yang mengenali kami & sekalian umat Islam,

"..Mama bagi pihak Allahyarham Soleh serta seluruh ahli keluarga dengan penuh rasa rendah diri & kedhaifan ingin memohon ampun maaf atas segala dosa, kesilapan & kesalahan kami..mohon dihalalkan segala doa, kasih sayang, pertolongan & sumbangan kepada 'anak syurga' Mama Allahyarham Muhammad Solehuddin bin Noraaini serta kami sekeluarga.."

"..sesungguhnya segala yang buruk itu daripada kami & yang baik itu kurniaan Allah swt jua..semoga Allah swt memurahkan rezeqi serta merahmati kalian jua di Dunia & Akhirat..Aamiiin Ya Rabbal 'Aalamiiin.."

~Sayang Soleh Sampai Syurga~

Friday 24 July 2015

23.7.15 @ Perginya 'Anak Syurga' Muhammad Solehuddin

Bismillahhirrahmaanirrohiiim

23 Julai 2015 Masehi
7 Syawal 1436 Hijrah

إنا لله وإنا إليه راجعون

Perginya Seorang Mujahid Kecil 'Anak Syurga' ku Muhammad Solehuddin bin Noraaini

"..sungguh tidak disangka & tiba-tiba sahaja ditaqdirkan 'anak syurga' ku kembali menemui Allah swt.."

"..terasa begitu sekejap, Allah swt meminjamkan Muhammad Solehuddin kepada kami..biarpun sekejap, namun segala detik yang dilalui bersamanya cukup bahagia & bermakna buat kami..mujahid kecil yang sekian lama berjuang meneruskan kehidupan ini..mujahid kecil yang banyak mengajar kami erti kasih sayang, tabah, sabar & cekal untuk terus berjuang.."

"..masih terimbas-terimbas lagi wajah comel yang melontarkan senyuman yang cukup ikhlas & membahagiakan ibu ini..wajah yang sentiasa menjadi penawar tiap kesedihan & memberi harapan yang tidak pernah pudar.."

"..AllahhuAkbar, begitu berat melepaskan 'anak syurga' Muhammad Solehuddin pergi..namun, ibu ini sedar..Allah swt lebih menyayanginya..Allah swt ingin memberikan kebahagiaan & kegembiraan yang lebih besar buatnya di Syurga yang sangat indah.."

"..doakan Soleh sedang lebih tenang, gembira & bahagia kini setelah kembali menemui Penciptanya..semoga Soleh sentiasa rindu & mendoakan kami di sini.."

"..doakan ibu ini ikhlas, sabar & redha dengan ketentuan Allah swt ini..semoga ini adalah yang terbaik untuk Muhammad Solehuddin & buat kami sekeluarga.."

"..doakan kami sekeluarga kelak akan bertemu Muhammad Solehuddin lagi untuk bersamanya menjadi penghuni Syurga.."

"..Alhamdulillah..urusan jenazah Muhammad Solehuddin selesai disempurnakan selepas Solat Asar & dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sg. Tangkas.."

"..Terima Kasih banyak-banyak atas doa, pertolongan, ziarah & sumbangan yang dihulurkan kepada kami sekeluarga..semoga Allah swt merahmati & membalas kebaikan kalian jua.."

~Sayang Soleh Sampai Syurga~

Al-Fatihah buat 'wildan syurga' Allahyarham Muhammad Solehuddin bin Noraaini

9 Julai 2013 Masehi - 23 Julai 2015 Masehi
30 Syaaban 1434 Hijrah - 7 Syawal 1436 Hijrah







Thursday 4 June 2015

14.5.15 @ Temujanji Klinik Pakar ENT

“..temujanji kali ini adalah bagi pemeriksaan telinga ‘hearing assesment’ Muhammad Solehuddin..berdebar-debar jer hati Mama, sejak dari awal pagi..asyik rasa tak sedap hati..mujurlah di Klinik Pakar ENT, terdapat kemudahan katil pesakit yang diberi keutamaan untuk kes pesakit kronik seperti Muhammad Solehuddin yang memerlukan mesin bantuan pernafasan serta ‘oxygen supply’..dengan keadaan terpaksa menunggu lama, pasti ‘oxygen’ dalam tangki cepat habis..perit sangat rasanya nak mengisi semula tangki oksigen..Muhammad Solehuddin bukannya sebuah Klinik Pakar sahaja yang perlu dirujuk..setiap bulan berulangkali kami berulang-alik ke Hospital..Muhammad Solehuddin, mempunyai rujukan dengan 7 Klinik Pakar untuk pelbagai kes penyakit & masalah kesihatan..bukan pasal itu sahaja, Muhammad Solehuddin juga boleh ‘berhenti’ bernafas pada bila-bila masa & membiarkan dia dalam keadaan yang tidak selesa boleh mendedahkannya kepada risiko tersebut sementara usaha ‘mengembalikan’ Muhammad Solehuddin tanpa keadaan berbaring agak sukar..”

“..ujian hari ini, memerlukan Muhammad Solehuddin disuntik dengan ubat tidur..Mama & Abah risau, berulangkali kami tanya pada Jururawat mengenai kesan ubat tidur yang diberikan kepada Muhammad Solehuddin..Jururawat memaklumkan dos ubat tidur ini tidak terlalu kuat..”

“..walaupun dalam keadaan bilik di bahagian katil Muhammad Solehuddin digelapkan, dia masih lagi sukar tidur..lama-kelamaan, dia terlelap juga..kami terus bawa dia ke bilik di mana ujian dijalankan..”




“..di bilik ujian, ada beberapa wayar yang dipasang pada bahagian kepala Muhammad Solehuddin yang disambung ke sebuah komputer riba..seterusnya Doktor menggunakan sebuah alat pengesan yang berbentuk seperti penguji meter, yang hujungnya dimasukkan ke telinga Muhammad Solehuddin..reaksi Doktor di bilik ujian semasa ujian dijalankan, agak kurang menyenangkan hati Mama..”



“..selesai ujian, Doktor mengajukan beberapa soalan kepada kami..akhirnya, Doktor memaklumkan keputusan ujian kepada kami..ternyata, rasa tidak sedap hati Mama bagaikan satu petanda..”

“..hati Mama menangis lagi..keputusan ujian pendengaran, tidak memuaskan..Muhammad Solehuddin dikesan mempunyai masalah pendengaran..pendengarannnya berada pada tahap yang sedikit..dia tidak mampu mendengar bunyi yang perlahan..dia hanya mampu mendengar bunyi yang kuat seperti bunyi guruh berdentum, bunyi gemerincing loceng yang nyaring & sebagainya..Muhammad Solehuddin diberi temujanji Klinik Pakar ENT yang seterusnya pada 26/6/2015 untuk siasatan lebih lanjut bagi mengetahui punca masalah pendengarannya seterusnya mengenalpasti rawatan yang boleh dijalankan bagi membantu menyelesaikan masalah pendengaran Muhammad Solehuddin..”

“..Mama boleh menangis, mengalirkan air mata..namun, andai ditadah selautan pun, mampukah segalanya berubah? biarlah hati Mama sahaja yang menangis & merintih..saat ini, Mama masih perlu berjuang..andai Mama terus menangis bersedih, Mama tak mampu melakukan apa-apa apatah lagi nak bekerja..biarpun orang yang Mama paling sayangi jua, mungkin tak mampu memahami & mengerti hati Mama..kepada Allah jua tempat Mama mengadu..apa lagi yang ibu ini mampu lakukan dengan ketidakupayaan kewangan kami sekeluarga sekarang? selain berdoa & berharap semoga ada keajaiban buat anak Mama..”

“..selesai ujian, kami dinasihatkan oleh Doktor supaya mengejutkan Muhammad Solehuddin dari tidurnya yang lena..tidur yang berpanjangan dengan kesan ubat tidur, boleh memudharatkan Muhammad Solehuddin..tapi, entah kenapa setelah bersusah payah membangunkan Muhammad Solehuddin..dia masih tidak mahu menggerakkan badan atau membuka mata..Mama & Abah risau sangat, tidur Muhammad Solehuddin terlalu nyenyak..kami harus risau..kerana Muhammad Solehuddin mungkin terlupa untuk bernafas dalam tidurnya yang begitu nyenyak..ketika ibu lain, pasti tenang melihat anak yang tidur nyenyak..tetapi, tidak bagi ibu ini..ini saat yang Mama paling risau..”

“..Mama bergegas memanggil Jururawat yang berada di Kaunter..mereka membasuh muka, leher & kepala Muhammad Solehuddin sebagai usaha membangunkannya..kali ini, Jururawat pula mula risau kerana bacaan SPO2 Muhammad Solehuddin yang semakin lama, semakin turun..kami semua panggil Muhammad Solehuddin kuat-kuat..salah seorang Jururawat menyapu air pada bawah telinga Muhammad Solehuddin..pada masa itu, barulah Muhammad Solehuddin mula membuka mata sedikit..tak sampai seminit pun, dia dah tutup mata balik..dalam perjalanan pulang ke rumah, Muhammad Solehuddin tidur nyenyak..bila ‘jaga’ kan dia..dia menangis & ‘biru’..SPO2 turun lagi..tapi, syukur Alhamdulillah..bila ‘bagging’, SPO2 naik semula..”

“..sepanjang hari di rumah, Muhammad Solehuddin tidur nyenyak sangat..kami risau..selalu kejut-kejut dia..cakap dengan dia, kuat-kuat..biarlah dia marah pun, nangis & ‘biru’..asalkan ada waktu dia jaga..tak boleh dibiar tidur berpanjangan..malam nya, Mama tidur-tidur ayam sahaja..Mama ulang-ulang buat perkara yang sama..Alhamdulillah, Muhammad Solehuddin dah berjaga & main-main menjelang Subuh keesokan hari..terasa malam itu, begitu panjang untuk Mama..”




“..memang berat hati Mama untuk menerima tiap khabar ‘duka’ mengenai Muhammad Solehuddin..tapi, itu tak beerti Mama berputus asa & berhenti berharap..Mama akan terus berdoa agar Muhammad Solehuddin dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain..biar apa yang Doktor cakap..naluri Mama sebagai ibu mengatakan Muhammad Solehuddin boleh mendengar dengan baik..kalau pun bukan suara orang lain..tapi, Mama yakin Muhammad Solehuddin mendengar suara ibunya dengan jelas..Muhammad Solehuddin selalu memberi respon yang baik tiapkali Mama berbicara dengannya..biar dalam apa cara..Muhammad Solehuddin sedang berbicara & berkomunikasi dengan Mama..yang paling penting, Mama tahu Muhammad Solehuddin boleh mendengar alunan bacaan ayat suci Al-Quran & Zikir..kerana, itu suara membaca Kalam Allah & memuji kebesaranNya..kerana Allah swt Maha Pengasih & Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya..apatah lagi kepada seorang anak kecil..Mama pasti & sentiasa berdoa agar Allah swt memberi hak itu kepada ‘anak syurga’ Mama..Aamiin Ya Rabbal ‘Aalamiiin..”

Monday 18 May 2015

21.4.15 @ Temujanji Klinik Pakar Oftalmology

“..temujanji kali ini adalah bagi pemeriksaan mata Muhammad Solehuddin..hampir 2 jam menunggu, tanpa disediakan katil seperti di wad Harian & di Klinik ENT sangat merisaukan Mama & Abah..mata Mama asyik memandang tangki oksigen & melihat Muhammad Solehuddin..bimbang oksigen dalam tangki habis atau Muhammad Solehuddin tak selesa menunggu lama dalam keadaan ini..kalau Muhammad Solehuddin biru, dah jadi hal lain pulak..sudah diberitahu mengenai keadaan Muhammad Solehuddin, malah mereka sendiri boleh lihat..tapi, jawapan yang diterima mengecewakan..Klinik Oftalmology tidak mempunyai katil seperti di wad Harian & Klinik ENT..tak perlah..mungkin ini, ujian Allah swt buat kami..”

“..tiba giliran Muhammad Solehuddin, berjumpa Pakar Mata..bertuah sangat Muhammad Solehuddin..kebetulan Dr Radzlian, Pakar Mata yang bertaraf ‘bos’ Klinik Oftalmology ada dalam Klinik sedang memberi penerangan kepada Pakar Mata dalam bilik tersebut..bila melihat Muhammad Solehuddin, beliau terus bersalam dengan kami serta menegur Muhammad Solehuddin dengan mesra sekali..”

“..kami ditanya mengenai penyakit Muhammad Solehuddin & sejarah masalah kesihatannya..sambil membuat pemeriksaan ke atas Muhammad Solehuddin, Dr Radzlian bertanya pelbagai soalan kepada kami berkaitan reaksi Muhammad Solehuddin ketika memandang apa jua objek dalam keadaan dia baring & duduk..dengan menggunakan lampu suluh serta berselang seli menutup mata Muhammad Solehuddin sebelah bahagian & kedua-dua bahagian, Dr Radzlian menerima beberapa reaksi berbeza daripada Muhammad Solehuddin..”

“..akhirnya, Dr Radzlian membuat kesimpulan mengenai keadaan mata Muhammad Solehuddin.. “..Tuan/Puan, daripada pemeriksaan awal saya jelas menunjukkan Muhammad Solehuddin mempunyai masalah penglihatan pada mata kirinya..kelopak matanya yang jatuh, adalah disebabkan masalah otot matanya yang lemah..keadaan ini hanya boleh dirawat dengan melakukan pembedahan membuang sebahagian daripada kelopak matanya..walaubagaimanapun, kita akan membuat pemeriksaan lanjut yang lebih terperinci untuk menentukan tahap penglihatannya..sekiranya terlampau teruk, kita akan membuat pembedahan dalam masa yang terdekat..tapi, sekiranya masih terkawal..kita boleh menangguhkan pembedahan ini dalam masa 1 atau 2 tahun..”

“..sayunya hati Mama, mendengar apa yang dikatakan oleh Pakar..kesian anak Mama, rupa-rupanya dia ada masalah penglihatan..patutlah, kadangkala reaksi balas Muhammad Solehuddin kurang memuaskan..harapan Mama, agar Muhammad Solehuddin tiada masalah penglihatan, nampaknya tidak kesampaian..bila terfikir mengenai pembedahan, hati Mama jadi lagi sebak..entah berapa lama nanti, Muhammad Solehuddin kena tinggal di wad sebelum & selepas pembedahan..kami sekeluarga akan terpisah lagi..pembedahan tu pulak, entah apa risikonya nanti..”

“..tapi, Mama takkan berputus asa..Mama takkan berhenti berharap & berdoa..semoga ada keajaiban daripada Allah swt, untuk kami..selagi ada pilihan, selagi belum ada ujian terperinci serta bukti yang cukup jelas, selagi tiada jaminan untuk keselamatan pembedahan & selagi Mama boleh berusaha mendapatkan rawatan alternatif untuk memulihkan penglihatan Muhammad Solehuddin, Mama takkan memilih untuk membuat pembedahan..”

“..semoga Allah swt tidak memberi kami ujian yang tidak sanggup kami memikulnya..semoga Alllah swt tidak memberi kedukaan buat kami..semoga Allah swt memberi pertolongan & mempermudahkan jalan bagi usaha kami merawat Muhammad Solehuddin..semoga hilang segala masalah & penyakit Muhammad Solehuddin..”








Sunday 10 May 2015

Selamat Hari Ibu

Selamat Hari Ibu, buat semua yang bergelar Ibu

buat ibu-ibu 'anak syurga', semoga kita terus diberi kekuatan & ketabahan untuk menjaga amanah Allah swt ini 

semoga Allah swt permudahkan semua urusan kita

semoga anak-anak kita dapat menjalani kehidupan yang bahagia seperti anak-anak normal yang lain

Allahhumma Yassir Wala Tu'assir Rabbi Tammim Bil Khair 

اللهم آمين


Tuesday 5 May 2015

24.3.15 @ Temujanji Klinik Pakar Pediatrik & Klinik Pakar Rehabilitasi

“..temujanji kali ini membuka episod duka yang baru dalam hidup Mama..hasil pemeriksaan Doktor Pakar Pediatrik ke atas Muhammad Solehuddin agak kurang memuaskan..berat badan Muhammad Solehuddin semakin susut..Muhammad Solehuddin dirujuk kepada Pakar Pemakanan, untuk siasatan & nasihat selanjutnya..Pakar Pemakanan memohon kami menambah lagi sukatan susu & bijirin bagi Muhammad Solehuddin..Pakar Pemakanan akan memantau berat badan Muhammad Solehuddin, pada temujanji berikutnya..”




“..seperkara lagi yang Doktor Pakar Pediatrik risaukan adalah masalah pendengaran & penglihatan..daripada sedikit ujian kasar yang dibuat oleh Doktor, reaksi balas Muhammad Solehuddin kurang memuaskan..Muhammad Solehudddin dirujuk kepada Klinik Pakar ENT untuk ujian pendengaran (hearing assesment) & Klinik Pakar Oftalmology bagi ujian penglihatan (eye assessment) serta pemeriksaan lanjut Pakar Mata..temujanji yang diberikan oleh pihak Klinik Pakar ENT & Klinik Pakar Oftalmology adalah pada bulan April..ini bermaksud, kami terpaksa berulang-alik ke Hospital beberapa kali dalam sebulan kerana Muhammad Solehuddin mempunyai rujukan dengan 7 klinik, iaitu Klinik Pakar Pediatrik, Klinik Pakar Rehabilitasi, Klinik Occupational Therapy, Klinik Speech Therapy, Klinik Physiotherapy, Klinik Pakar ENT & Klinik Pakar Oftalmology..semoga Allah swt mempermudahkan segalanya..”

“..di Klinik Pakar Rehabilitasi juga, kami menerima khabar duka..hampir sejam pemeriksaan & pertemuan dengan Pakar Rehabilitasi, memberi beberapa keputusan..kaki Muhammad Solehuddin yang didapati bengkok, memerlukan dia memakai sepasang kasut khas bagi membantu meluruskan semula kakinya..tulang belakangnya juga didapati bengkok menyebabkan dia tidak dapat duduk tanpa sokongan..sehubungan itu, Pakar Rehabilitasi memutuskan Muhammad Solehuddin perlu menggunakan kerusi roda khas bagi membantu membetulkan postur badannya serta bagi kemudahan penggunaan kasut khas nanti..bagi membantu meransang pergerakannya serta otot-otot Muhammad Solehuddin yang lemah, Pakar Rehabilitasi menasihatkan kami membuat urutan terapi di rumah..bagi kasut khas, pihak Hospital akan membekalkannya secara percuma di mana Muhammad Solehuddin perlu hadir temujanji ke Klinik Occupational Theraphy bagi ukuran saiz kasut yang betul..namun, bagi keperluan kerusi roda, Mama perlu mendapatkan bantuan..setelah bantuan diperolehi, barulah kerusi roda khas ini akan dibekalkan..Muhammad Solehuddin, mungkin terpaksa menunggu beberapa bulan sebelum dapat menggunakan kerusi roda ini..”

“..apabila ditanyakan masalah kami, Mama ambil kesempatan memaklumkan bahawa kami memerlukan bantuan bayaran bil elektrik yang sangat tinggi kerana penggunaan mesin serta kelengkapan Muhammad Solehuddin & bantuan pembelian item-item disposeable bagi prosedur penjagaan rapi Muhammad Solehuddin..mungkin tidak begitu sensitif dengan perasaan Mama, Pakar terus mencadangkan kami berbincang dengan Pakar Pediatrik untuk menebuk sedikit bahagian perut Muhammad Solehuddin bagi mewujudkan saluran memberi makanan kepadanya..kata Pakar, penyelenggaraan nanti lebih mudah sebab kami tak perlu membeli banyak ‘feeding tube’..hancur luluh perasaan Mama ni, mengenangkan begitu mudah Pakar bercakap tanpa mengambil kira perasaan Mama..tak cukupkah lagi, Muhammad Solehuddin ditebuk bagi mewujudkan salur trakea? sehingga sekarang, hati Mama masih sakit..semata-mata untuk mudah & menjimatkan kos, Mama takkan merelakan Muhammad Solehuddin ditebuk lagi..cukuplah deritanya..bagi Mama, ditebuk sana & sini, tanpa penjagaan yang baik, akan mendedahkan dia kepada risiko jangkitan kuman sahaja..Mama tak nak Muhammad Solehuddin sakit lagi..Mama tak nak Muhammad Solehuddin masuk Hospital & ditahan di wad lagi..Mama tak sanggup melihat Muhammad Solehuddin dipuasakan berhari-hari..Mama tak sanggup melihat Muhammad Solehuddin dicucuk sana & sini setiap hari bagi ujian sample darahnya..sehingga sekarang, semua bekas parut cucukan jarum masih ada di tangan Muhammad Solehuddin..bagi mereka warga Hospital, mungkin sudah biasa bagi mereka melihatnya setiap hari..tapi, bukan kami sebagai ibu & bapa..perasaan kami, kalian takkan fahami & takkan dapat merasainya..bulat-bulat Mama tolak cadangan Pakar..minta maaf, Doktor..buat masa ini, kami tak nak buat lagi..”




“..selagi ada jalan mencari bantuan, Mama nak usahakan..Mama minta tolong Pakar, buat surat pengesahan item-item keperluan prosedur penjagaan rapi..Pakar mohon Mama buat senarai dulu untuk dia tengok..Pakar hanya keluarkan surat pengesahan keperluan kerusi roda khas untuk Muhammad Solehuddin dahulu..kebetulan, syarikat pembekal kerusi roda ada di Hospital..jadi, Pakar terus memanggilnya & Mama disuruh berurusan dengan syarikat itu bagi mendapatkan sebut harga kelak..mengenai bantuan bayaran bil elektrik yang tinggi, Pakar tak dapat nak buat apa-apa..” “..Encik kena buat kerja lain lah, sebab dah tak kerja sekarang..Encik cuba berniaga secara online ker, untuk menampung perbelanjaan..” kata Pakar. Abah terus menyampuk, mungkin ‘panas’ sedikit dengan komen Pakar tadi..” “..memang saya ada buat kerja lain pun, Doktor..ini haaa..saya buat perniagaan SIMKAD TUNE TALK TONE EXCEL..ini untuk Doktor & yang lain tolong bagi pada keluarga Doktor..untuk anak-anak ker, pun boleh..12 tahun, pun dah boleh masuk..kalau akak & Doktor tak der masa sekarang, tak per..Akak & Doktor baca jer, blog saya..ada nama saya, no. Hp & alamat blog saya..boleh hubungi saya, kalau nak masuk..” kata Abah sambil menghulurkan beberapa helai risalah kepada Pakar & wakil syarikat pembekal kerusi roda yang masih ada dalam bilik Pakar sambil mengambil ukuran Muhammad Solehuddin. “..serius, Mama terkejut sekejap dengan reaksi Abah..macam tak percaya..inilah Abah yang sekarang..peluang yang ada takkan dilepaskan begitu sahaja..sesiapa, dimana & bila-bila sahaja..perasaan malu mencari pendapatan mempromosikan perniagaannya, tidak wujud lagi dalam kamus hidupnya..sekarang, Abah dah ringan sangat nak buka mulut..kalau dulu, mungkin ada yang melabelkan Abah ni bercakap macam ada ketul emas dalam mulutnya..inilah sebahagian daripada hikmah ujian yang kami lalui sekarang..terasa sebak di dada Mama..air mata ditahan, jangan gugur..Mama tak mahu, Abah melihat Mama menangis..Mama tak mahu, Abah lemah..”

“..sepanjang perjalanan balik ke rumah, hati Mama rasa sayu..Mama pegang tangan & tatap wajah Muhammad Solehuddin..Mama berharap sangat Muhammad Solehuddin tiada masalah penglihatan & pendengaran..Mama juga berat hati, untuk melihat Muhammad Solehuddin hidup dengan menggunakan kerusi roda..Doktor pula tidak menjanjikan Mama apa-apa..entah sampai bila Muhammad Solehuddin akan menggunakan kerusi roda? tapi, Mama akan cuba tabahkan diri..apa sahaja ikhtiar untuk membantu perkembangan Muhammad Solehuddin, Mama harus sanggup melakukannya..memang sakit hati, melihat Muhammad Solehuddin dengan kerusi roda kelak.. maafkan Mama, sayang..Mama janji, Mama akan campak jauh-jauh kerusi roda ini nanti dari pandangan kita semua atau beri pada mereka yang memerlukan kelak, apabila sayang dah dapat duduk, berdiri & berjalan dengan betul..Mama sayang Muhammad Solehuddin, sangat-sangat..jangan risau, sayang..InsyaAllah kalau ada rezeqi sayang, kita akan cuba buat rawatan alternatif..mungkin, sayang tak perlu guna kerusi roda pun..memang itu, harapan Mama..semoga Allah swt maqbulkan doa Mama..Aamiiin Ya Rabbal ‘Aalamiiiin..”

Friday 17 April 2015

Selawat Syifa

Assalamu'alaikum, semua..

Selamat Malam..

ketika ini, pasti ada yang sakit..mungkin rohani, mungkin jasmani, mungkin fizikal & mental..

semoga kita semua diberi kesihatan & afiat baik dari segi rohani, jasmani, fizikal & mental oleh Allah swt..

mari kita amalkan Selawat Syifa..