Friday 18 September 2015

Sambungan Puisi 'Anakku Syurgaku'

Bismillahhirrohmaanirrohiiim

17 September 2015 Masehi
3 Zulhijjah 1436 Hijrah

sambungan...
Puisi yang telah Mama tulis sebelum ini untuk 'anak syurga' Mama, Muhammad Solehuddin...

Puisi 'Anakku Syurgaku'

Anakku
Sekian lama ibu menantikanmu
Tanggal 9 Julai 2013 lahirlah kamu
Syukur serta bahagia ayah & ibu

Anakku
Saat gembira bertukar duka
Tatkala ibu mendengar berita
Kau berada dalam bahaya

Anakku
Gelora rasa di hati ibu
Hanya Tuhan Yang Maha Tahu
Setiap masa berdoa untukmu

Anakku
Mata ibu kadang tidak mampu
Melihat kesan darah di badanmu
Melihat tiub-tiub memasuki tubuhmu
Terasa longlai & menggigil tubuh ibu

Anakku
Ibu akui kekadang goyahnya rasa
Melihat kau bagaikan terseksa
Lalu terdetik kerelaan di hati
Ibu redha melepaskan kau pergi

Namun,
Terima Kasih mujahid ku
Atas perjuangan mu melawan derita
Tiap ujian berjaya kau laluinya
Lalu ibu titipkan doa
Semoga Tuhan tentukan sahaja
Yang terbaik untuk kita semua

Anakku
Mereka membuat ibu trauma
Membiarkanmu hampir tak bernyawa
Hilang sudah pertimbangan & etika kerja
Marahkan ibu kamu menjadi mangsa

Anakku
Keranamu ibu rela
Perjuangan menentang satu dunia
Demi yang terbaik untukmu pastinya

Anakku
Di bilik keramat itu merekalah Raja
Bicara ibu dikunci belaka
Keadilan dituntut tiada jua
Kata mereka tanda protes sahaja

Anakku
Ayahmu bicara menutup sakitnya rasa
Setiap perbuatan ada pembalasannya
Bukan di Dunia pasti di Akhirat sana

Anakku
Maafkan ibu yang tidak sempurna
Tak dapat menjagamu sepenuh masa
Biar ibu tak disampingmu sentiasa
Ingatan & doa ibu tetap bersama

Anakku
Maafkan ibu atas segala kelemahan
Kasih sayang ibu usahlah disangsikan
Kering sudah air mata untuk dititiskan

Anakku
Ibu teringin sekali
Melihat kau makan & minum
Melihat kau berjalan & bermain
Seperti anak-anak normal di luar sana

Anakku
Ibu teringin sekali
Mendengar kau memanggil ibu ‘Mama’
Derita hati ibu tiapkali memikirkannya

Anakku
Mereka sering bertanya perihalmu
Tak pernah sekali mereka menjengahmu
Menjelas segalanya perit tekak ibu

Anakku
Mereka hujahkan naluri ibu
Mana pergi segala rasa
Pada anak yang tercinta

Anakku
Mereka kata mereka hairan & pelik
Melihat ibu tersenyum & ketawa
Hanya ibu yang tahu peritnya
Derita bertarung dengan jiwa

Anakku
Episod duka silih berganti
Ramai berkata mereka simpati
Belum pasti mereka empati

Anakku
Segala yang berlaku ada hikmahnya
Kini ibu tahu untuk menimbangkan
Menilai erti persaudaraan
Menilai erti persahabatan
Siapa disisi saat menempuhi ujian

Anakku
Rai & sendu mengiringi perpisahanmu
Cukup menyentuh sanubari ibu
Tanpa ibu sedari ramai menyayangimu
Lahirlah kemaafan setulus hati ibu
Catatan duka diari trauma yang berlaku
Biarkan sahaja terpadam seiring waktu

Anakku
501 hari berlalu
Tak sedetik kau menjejakkan kakimu
Ke istana cinta ayah & ibu

Anakku
Syukur, Alhamdulillah
Kini, kita sekeluarga dapat bersama
Biar apa jua ujian & kesusahan
Semoga kita beroleh kejayaan

Anakku
Terpaksa ayah berkorban menjagamu
Demi kelangsungan hidup bersama
Berat kini tanggungjawab ibu
Menyara kehidupan kita sekeluarga

Anakku
Semoga ada sinar menerangi jalan kita
Semoga ada bahagia menanti kita
Semoga segala duka berlalu jua
Tanah Suci Makkah tujunya kita

Anakku
Kau seputih kain tiada dosa
Senyumanmu cukup menenangkan
Kaulah sumber kekuatan
Mengajar ibu erti ketabahan
Menahan segala kesakitan

Anakku
Kau Syurgaku
Kaulah sumber kebahagiaan
Kau memberi segenap harapan
Teristimewa anugerah Tuhan

Anakku
Terasa begitu sekejap masanya
Tuhan mengizinkan kita bersama
Tanggal 23 Julai 2015 tiba jua detiknya
Kau pergi buat selamanya

Anakku
744 hari kau dipinjamkan buat ibu
Biarpun hanya sekadar waktu
Pada Maha Esa ibu bersyukur selalu
Tidak sia-sia masa berlalu
Memori indah bersama terukir di kalbu

Anakku
Ibu redha catatan taqdir Ilahi
Ibu redha melepaskan kau pergi
Ibu tahu kasih sayang Tuhanmu lebih beerti
Segala sakit & derita berlalu pasti
Kau menuju sebuah kebahagian abadi

Anakku
Kesedihan pasti menyinggap ruang hati
Ibu yang pernah rahimnya kau huni
Saat berpisah denganmu anak dikasihi
Namun, segala kesedihan berlalu pergi
Saat menatap wajahmu menghadap Ilahi

Anakku
Berpegang keyakinan hikmah taqdir Ilahi
Terus melangkah ibu kuatkan diri
Perjalanan diatur berpaksi matlamat di hati
Bersamamu lagi di Syurga Rabbi

Anakku
Menatap video & potretmu rutin harian
Senyum tawamu mengubat sebuah kerinduan
Tiap detik bersama cukup membahagiakan
Perjuanganmu melawan derita menjadi teladan

Anakku
Kasih padamu sumber kekuatan
Buat ibu meneruskan sebuah perjuangan
Kasih Anak Syurga sinar harapan
Menolong teman-teman mu sekalian

Anakku
Ibu rindu pada mu
Ibu teringin lagi memeluk cium tubuhmu
Ibu teringin mendengar kau memanggil ibu ‘Mama’
Doakan ibu bersamamu kelak di Syurga
Semoga segala hajat ibu mu ini tertunai jua

Hari ini,
Izinkan ibumu
Mengucapkan Selamat Pulang
Selamat Pulang kepada Penciptamu
Semoga kebahagiaan abadi menjadi milikmu
Aamiiin Ya Rabbal ‘Aalamiiin


~Nukilan Hati Mama~
(buat 'Anak Syurga' ku Muhammad Solehuddin)

Al-Fatihah,
buat 'wildan syurga' Allahyarham Muhammad Solehuddin bin Noraaini

9 Julai 2013 - 23 Julai 2015 Masehi
30 Syaaban 1434 - 7 Syawal 1436 Hijrah

~Sayang Soleh Sampai Syurga~








1 comment :

  1. Menyentuh hati....terasa bila puteri kesygn juga kembali kpda penciptanya...
    0194575925.utk perkongsian..n bersama ummi wildan syurga...yg sama

    ReplyDelete